Pages

Friday, December 24, 2010

RENUNGAN JUMAAT

KISAH TUKANG GUNTING


Kisah ini berlaku di sebuah negara  yang mempunyai ramai penduduk yang miskin. Suatu hari, seorang lelaki  bernama Manan datang ke sebuah kedai gunting rambut untuk memotong  rambutnya. Dia pun memulakan perbualan dengan tukang gunting yang  melayaninya. Perbualan mereka kemudiannya menjadi semakin hangat.  Pelbagai topik dibincangkan, hingga akhirnya Tuhan menjadi subjek  perbualan.

"Encik, saya ni tak percaya kalau Tuhan itu ada seperti yang Encik katakan tadi," tanya si tukang gunting.

Mendengar ungkapan itu, Manan terkejut dan bertanya, "Mengapa kamu berkata demikian?"

"Mudah  saja, cuba Encik jenguk ke luar tingkap itu dan sedarlah bahawa Tuhan itu  memang tidak ada. Tolong jelaskan pada saya, jika Tuhan itu ada,  mengapa ramai orang yang sakit? Mengapa ramai anak terbiar? Jika Tuhan  itu ada, tentu tidak ada sesiapa yang sakit dan tentu juga tidak akan  berlaku penderitaan di negara ini. Tuhan apa yang mengizinkan semua itu  terjadi??!!" ungkap si tukang gunting dengan nada yang tinggi dan  angkuh.

Manan pun berfikir tentang apa yang baru saja  diperkatakan oleh tukang gunting itu. Namun, ia sama sekali tidak  memberi respon atau jawapan agar perbincangan tersebut tidak menjadi  hangat lagi.

Setelah tukang gunting itu selesai melakukan  pekerjaannya, Manan pun berjalan keluar dari kedai tersebut. Baru  beberapa langkah, dia bertembung dengan seorang lelaki berambut sangat  panjang serta tidak kemas. Tiba-tiba, tercetus difikirannya bahawa  mungkin lelaki itu sudah lama tidak pergi ke kedai gunting rambut dan  itu membuatkannya kelihatan tidak kemas.

Manan kembali masuk ke  dalam kedai dan kemudian berkata kepada si tukang gunting, "Tukang  gunting itu sebenarnya tidak ada di dunia ini sepertimana yang anda kata  bahawa Tuhan itu tidak ada!"

Si tukang gunting pun terkejut dengan kata-kata Manan itu.

"Bagaimana  mungkin mereka tidak ada, buktinya adalah saya. Saya ada di sini dan  saya adalah seorang tukang gunting!!" bentak si tukang gunting.

"Tidak,  mereka tidak ada. kalau mereka ada, tidak mungkin ada orang yang  berambut sangat panjang serta tidak kemas itu," kata Manan dengan tegas  sambil mengarahkan pandangannya kepada lelaki berambut panjang di luar  sana."

"Ah, anda merepek saja... tukang gunting selalu ada di  mana-mana. Yang terjadi pada lelaki itu adalah kerana dia tidak mahu  berusaha datang ke kedai saya dan meminta pertolongan saya untuk  digunting rambutnya," jawabnya tenang sambil tersenyum.

"Tepat sekali! Itulah jawapannya kepada soalan awak kepada saya  tadi. Tuhan itu memang ada. Yang terjadi pada  manusia itu adalah kerana  mereka tidak mahu berusaha dalam hidup dan datang mencari dan meminta  pertolongan dari Tuhannya. Itulah sebabnya mengapa begitu banyak  penderitaan di negara ini," tegas Manan.

Mendengar jawapan dari Manan tersebut menyebabkan si tukang gunting diam membisu tidak terkata.

- Tamat

Dari  cerita di atas ini, dapat kita simpulkan bahawa kadang-kadang mungkin  kita pernah lupa akan ALLAH, TETAPI ALLAH tidak lupa akan kita. Hanya  bila kita sakit atau susah barulah kita mengingatiNYA sedangkan apabila  kita hidup senang dan sihat, kadang-kadang kita lupa akan kewujudan-Nya.  Renungkanlah seketika. Berapa banyak kalikah kita memujiNYA pada setiap  hari? Dan berapa banyak kalikah kita memuji diri kita sendiri setiap  hari?

- [LINK=http://iluvislam.com/]Artikel iluvislam.com[/LINK]

No comments:

Post a Comment