Pages

Friday, December 31, 2010

Kisah Teladan

Pada suatu pagi, berlangsungnya satu temuduga di sebuah syarikat yang terkenal di Malaysia.

Semasa menemuduga salah seorang calon,pengurus syarikat tersebut mendapati seorang calon temuduga  perempuan mempunyai rekod akademik yang baik sejak dari sekolah menengah sehinggalah sepanjang pengajiannya di universiti.Setiap semester calon tersebut memperoleh keputusan yang cemerlang.

Pengurus itu bertanya, "Adakah awak mendapat apa-apa biasiswa di sekolah atau universiti?"
Gadis itu menjawab "Tidak".

Pengurus itu  bertanya lagi, "Jadi  adakah ayah awak yang membayar semua yuran pengajian?"
Gadis itu menjawab,"Ayah saya telah  meninggal ketika saya berusia satu tahun, ibu saya yang telah  membayar  semua yuran pengajian saya".

Pengurus meneruskan soalannya, "Ibu awak bekerja di mana?" Gadis itu menjawab,"Ibu saya bekerja sebagai pencuci kain dari rumah ke rumah".Pengurus meminta gadis tersebut menunjukkan tapak tangannya dan gadis tersebut menunjukkan tapak tangannya yang halus seperti tidak pernah membuat kerja berat.

Pengurus berasa hairan lalu bertanya lagi,"Awak tidak pernah membantu ibu awak mencuci kain dahulu?".Gadis itu menjawab, " Tidak pernah.Ibu selalu berpesan supaya saya belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam kehidupan.Tidak pernah dia meminta saya untuk menolongnya membasuh pakaian.Lagipun ibu membasuh lebih cepat daripada saya."

Pengurus tersebut memberitahu dia mempunyai satu permintaan, dia menyuruh gadis tersebut membantu ibunya membersihkan tangan apabila gadis itu pulang ke rumah nanti dan berjumpa semula dengannya keesokan harinya.

Gadis itu merasakan peluang untuk memperoleh jawatan tersebut semakin tinggi.Dia pulang ke rumah dengan gembira untuk membersikan tangan ibunya.Di rumah, ibunya berasa pelik tetapi tersentuh dengan keinginan anaknya membersihkan tangannya sambil menghulurkan kedua-dua belah tapak tangan kepada anaknya.

Gadis itu membersihkan tangan ibunya perlahan-lahan.Tanpa disedari air matanya mengalir ketika itu.Inilah kali pertama dia mendapati tangan ibunya begitu kusut dan terdapat banyak calar di tangan ibunya. Kadangkala ibunya mengaduh kesakitan apabila terkena air  di tangannya.

Lama-kelamaan  gadis itu mula menyedari bahawa tangan ini lah yang bersusah payah membasuh kain setiap hari untuk mendapatkan sedikit wang membiayai pengajiannya di sekolah dan universiti . Calar-calar itulah harga yang perlu ibunya bayar demi kejayaannya  yang cemerlang  dan juga demi masa depan seorang anak.Setelah selesai membersihkan tangan ibunya, gadis itu secara senyap-senyap membasuh semua pakaian ibunya yang masih tertinggal.

Keesokkan harinya, gadis itu kembali semula ke pejabat.

Pengurus tersebut menyedari air mata bergenang di mata gadis tersebut lalu dia bertanya
"Apa yang telah awak buat dan pelajari semalam di rumah?".

Gadis itu menjawab
"Saya membersihkan tangan ibu saya dan membasuh semua baki pakaian yang masih tertinggal".

Pengurus itu bertanya lagi, "Apa yang anda rasa?"

Gadis itu menjawab. "Pertama, saya sedar apa itu pengorbanan seorang ibu, tanpa ibu, tiada kejayaan saya pada hari ini.Kedua, dengan bekerja bersama dengan ibu saya sahaja saya dapat belajar dan mengerti  betapa sukar nya mendapat sedikit wang untuk hidup.Ketiga, saya tahu betapa pentingnya hubungan kekeluargaan."

Pengurus itu tersenyum lalu berkata, "Ini adalah apa yang saya mahukan, saya ingin mencari pekerja yang dapat menghargai bantuan orang lain, orang yang tahu penderitaan orang lain dan orang yang tidak akan meletakkan wang sebagai perkara utama dalam hidupnya.Awak diterima untuk bekerja disini." Gadis itu bekerja dengan tekun dan menerima rasa hormat dari rakan-rakan sekerjanya.Prestasi syarikat juga semakin meningkat.

Pengajaran dari cerita ini ialah kita hendaklah menghargai jasa ibu bapa yang banyak bersusah payah demi masa depan kita sebagai anak-anak.Ringan-ringankan diri untuk membantu ibu atau ayah melakukan kerja-kerja di rumah.Dari situ , kita akan belajar untuk menghargai kesusahan dan keperitan yang dialami oleh mereka.

Sunday, December 26, 2010

KALAM TIMUR

Agama di kepala
bangsa di dada
tanah air di rasa
geletar dalam petaka
sakit teriak tangis di panggung tragis
pentas makin terbuka
di tangan onar petualang
wayang seancak berpesta
dalang bertukar pendusta
geger di bendul demokrasi
cendekia hilang peri.
Di manakah kalam timur?
unjuk muka keluar bertempur
buka mulut khabarkan warta
kebenaran luka duka bangsa
durjana kian berani memusnah
makmur nusa akan punah ranah
baca, baca, tulis hakikat sejarah
pegang kitab suci fahami sirah.
A AZIZ DERAMAN
Kuala Terengganu

Friday, December 24, 2010

RENUNGAN JUMAAT

KISAH TUKANG GUNTING


Kisah ini berlaku di sebuah negara  yang mempunyai ramai penduduk yang miskin. Suatu hari, seorang lelaki  bernama Manan datang ke sebuah kedai gunting rambut untuk memotong  rambutnya. Dia pun memulakan perbualan dengan tukang gunting yang  melayaninya. Perbualan mereka kemudiannya menjadi semakin hangat.  Pelbagai topik dibincangkan, hingga akhirnya Tuhan menjadi subjek  perbualan.

"Encik, saya ni tak percaya kalau Tuhan itu ada seperti yang Encik katakan tadi," tanya si tukang gunting.

Mendengar ungkapan itu, Manan terkejut dan bertanya, "Mengapa kamu berkata demikian?"

"Mudah  saja, cuba Encik jenguk ke luar tingkap itu dan sedarlah bahawa Tuhan itu  memang tidak ada. Tolong jelaskan pada saya, jika Tuhan itu ada,  mengapa ramai orang yang sakit? Mengapa ramai anak terbiar? Jika Tuhan  itu ada, tentu tidak ada sesiapa yang sakit dan tentu juga tidak akan  berlaku penderitaan di negara ini. Tuhan apa yang mengizinkan semua itu  terjadi??!!" ungkap si tukang gunting dengan nada yang tinggi dan  angkuh.

Manan pun berfikir tentang apa yang baru saja  diperkatakan oleh tukang gunting itu. Namun, ia sama sekali tidak  memberi respon atau jawapan agar perbincangan tersebut tidak menjadi  hangat lagi.

Setelah tukang gunting itu selesai melakukan  pekerjaannya, Manan pun berjalan keluar dari kedai tersebut. Baru  beberapa langkah, dia bertembung dengan seorang lelaki berambut sangat  panjang serta tidak kemas. Tiba-tiba, tercetus difikirannya bahawa  mungkin lelaki itu sudah lama tidak pergi ke kedai gunting rambut dan  itu membuatkannya kelihatan tidak kemas.

Manan kembali masuk ke  dalam kedai dan kemudian berkata kepada si tukang gunting, "Tukang  gunting itu sebenarnya tidak ada di dunia ini sepertimana yang anda kata  bahawa Tuhan itu tidak ada!"

Si tukang gunting pun terkejut dengan kata-kata Manan itu.

"Bagaimana  mungkin mereka tidak ada, buktinya adalah saya. Saya ada di sini dan  saya adalah seorang tukang gunting!!" bentak si tukang gunting.

"Tidak,  mereka tidak ada. kalau mereka ada, tidak mungkin ada orang yang  berambut sangat panjang serta tidak kemas itu," kata Manan dengan tegas  sambil mengarahkan pandangannya kepada lelaki berambut panjang di luar  sana."

"Ah, anda merepek saja... tukang gunting selalu ada di  mana-mana. Yang terjadi pada lelaki itu adalah kerana dia tidak mahu  berusaha datang ke kedai saya dan meminta pertolongan saya untuk  digunting rambutnya," jawabnya tenang sambil tersenyum.

"Tepat sekali! Itulah jawapannya kepada soalan awak kepada saya  tadi. Tuhan itu memang ada. Yang terjadi pada  manusia itu adalah kerana  mereka tidak mahu berusaha dalam hidup dan datang mencari dan meminta  pertolongan dari Tuhannya. Itulah sebabnya mengapa begitu banyak  penderitaan di negara ini," tegas Manan.

Mendengar jawapan dari Manan tersebut menyebabkan si tukang gunting diam membisu tidak terkata.

- Tamat

Dari  cerita di atas ini, dapat kita simpulkan bahawa kadang-kadang mungkin  kita pernah lupa akan ALLAH, TETAPI ALLAH tidak lupa akan kita. Hanya  bila kita sakit atau susah barulah kita mengingatiNYA sedangkan apabila  kita hidup senang dan sihat, kadang-kadang kita lupa akan kewujudan-Nya.  Renungkanlah seketika. Berapa banyak kalikah kita memujiNYA pada setiap  hari? Dan berapa banyak kalikah kita memuji diri kita sendiri setiap  hari?

- [LINK=http://iluvislam.com/]Artikel iluvislam.com[/LINK]

Pencarian

BUNGA MEKAR DI TAMAN SALJU
MENTARI GAGAH MENYULUH ALAM
BURUNG CAMAR MENYANYI RIANG
TIADA KELUHAN HANYA KERIANGAN
ALANGKAH BERUNTUNG HIDUP BAGAI BURUNG
BEBAS.............
DALAM RANJAU KEHIDUPAN
DALAM PASANG SURUT AIR SUNGAI
 DALAM CINTA UDA DAN DARA
DALAM SAYANG ADA LARANYA
MENTARI........

SULUHLAH AKU
TERANGILAH AKU
BUANGLAH BAYANG-BAYANG HITAM
YANG ADA HANYA KECERAHAN CAHAYA

Wednesday, December 22, 2010

Guru Oh Guru

GURU OH GURU
Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
USMAN AWANG
1979

KELEBIHAN AZAN

Azan dalam Islam bermaksud memaklumkan. Ia sinonim dengan bilal atau muazzin yang bertujuan untuk mengajak sekalian umat Islam mengerjakan Rukun Islam kedua.

Ia juga sebagai tanda masuknya waktu solat dan beralihnya peredaran masa daripada subuh, tengahari, petang, malam hinggalah ke awal pagi keesokan harinya.

Namun, cuba kita tanyakan diri, apakah yang kita lakukan sebaik sahaja terdengarnya [B]azan[/B]?

Adakah kita mendiamkan diri sambil menghayati setiap kalimah [B]azan[/B] yang dilaungkan oleh bilal dan menjawabnya satu persatu?

Atau terus bangun untuk membersihkan diri dan mengambil wudhu' serta bersedia untuk mengerjakan solat?

Mungkinkah hanya membiarkan seruan azan itu berlalu begitu sahaja tanpa menghiraukannya?

Bagaimana pula dengan[B] azan[/B] melalui corong radio mahupun televisyen, berapa ramai yang terus menghayati dan berapa kerat pula yang terus menukar siaran sebaik sahaja azan ke udara?

Mari kita berkongsi sedikit waktu untuk menyelidiki apa yang tersirat di sebalik makna panggilan [B]azan[/B] itu melalui makna dalam bahasa.

[B]ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar[/B]
[B]ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar[/B]

Sebutan empat kali [B]"ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar"[/B] ini menunjukkan betapa Agungnya ALLAH SWT, lantas menyedarkan kita betapa kebesaranNya mengatasi segala apa yang ada di langit dan di bumi.

Waktu ini seharusnya fikiran kita difokuskan pada fitrah kejadian seorang manusia sebagai khalifah. Tinggalkan segala hal duniawi dan terus menunaikan kewajipan untuk sujud kepadaNya tanpa sebarang alasan.

[B]Aku naik saksi tiada Tuhan selain ALLAH[/B]
[B]Aku naik saksi tiada Tuhan selain ALLAH[/B]

Sebutan sebanyak dua kali [B]"Aku naik saksi tiada Tuhan selain ALLAH"[/B] yang memberi kesaksian tentang sifat keEsaan Allah. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain ALLAH.

Lantas menyedarkan kita tentang syahadah kita. Sesungguhnya dengan solatlah syahadah kita terjaga. Dari solat yang khusyuklah syahadah memelihara kita. Lalu apakah alasan kita untuk mengelak dari melakukan hal yang paling utama dari segala perkara yang utama di dunia ini?

[B]Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH[/B]
[B]Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH[/B]

Sebutan sebanyak dua kali [B]"Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH"[/B] ini memberi kesaksian tentang kerasulan Rasulullah saw. Mengingatkan kita betapa Nabi Muhammad saw. itu sebenar-benarnya utusan dan kekasih ALLAH SWT.

Selepas solat sebaiknya berselawatlah kepada Rasul Junjungan kita dan para keluarga mahupun sahabat Baginda saw..

Pengorbanan dan akhlak Nabi saw. menjadi contoh bagi sekalian umat. Betapa sayangnya Nabi pada umat Baginda sehingga nafas terakhirnya diakhiri dengan kalimah "ummati..ummati..".

Syafaatnya antara rahmat yang diberi pada umatnya. Lantas ringankanlah diri berselawat kepadanya. Cinta kita pada Baginda saw. masih tidak setanding cinta Baginda saw. pada kita.

[B]Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH
[/B][B]Marilah mendirikan solat[/B]

Sebutan dua kali [B]"Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH [/B]dan[B] Marilah mendirikan solat"[/B] adalah mengajak untuk menunaikan solat.

Sebaiknya solat itu adalah solat berjemaah. Solat adalah penghubung seorang hamba dengan Tuhannya.

Sudah ditetapkan ada lima waktu solat fardhu perlu ditunaikan. Seandainya kita mengelak dengan pelbagai alasan  sekalipun ia tetap dikira sebagai 'hutang' di sisi ALLAH.

Kita sebagai hamba perlu melunaskan kewajipan sebelum ALLAH swt. melunaskan untuk kita (Azab Neraka).

Bilakah agaknya kita betul-betul bersedia untuk menunaikan solat dengan sempurna?

Adakah kita mempunyai waktu yang cukup untuk menggantikan segala solat yang telah tertinggal?

Sesungguhnya hari ini tidak akan sama dengan semalam dan jauh berbeza dengan esok. Tidak sama pagi yang ada matahari dan malam yang bertemankan bulan.

Lalu solatlah diawal waktu dan gantikanlah solat yang telah tertinggal.

[B]Marilah menuju kejayaan[/B]
[B]Marilah menuju kejayaan[/B]

Sebutan dua kali [B]"Marilah menuju kejayaan"[/B] yang sama banyak dengan panggilan solat.

Sesungguhnya orang yang menang dan berjaya di sisi ALLAH ialah orang yang tetap mengerjakan solat dengan hati yang khusyuk.

Ini juga menunjukkan Islam menggalakkan umatnya untuk mencapai kejayaan yang pasti bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat sana.

Kejayaan yang sebenar-benarnya bukan sahaja dari berapa banyak harta kita, tetapi betapa kita menjagaNya di hati kita dengan menunaikan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Sebaik-baiknya tinggalkan dahulu kerja mencari harta untuk dunia untuk mengerjakan solat sebagai bekalan di akhirat sana sejurus sahaja seruan [B]azan[/B] dilaungkan.

[B]ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar[/B]
[B]Tiada Tuhan selain ALLAH[/B]

Kita diingatkan kita sekali lagi betapa besar dan agungnya ALLAH SWT. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH. Manusia itu mudah lupa dan lemah, tetapi ALLAH itulah sumber kekuatan kita.

Solat yang sempurna dapat mencegah diri dari melakukan perbuatan cela.

Kalaulah diri mudah mengikut ajakan teman-teman walaupun pujukan tanpa sebarang alat pembesar. Kenapa [B]azan[/B] yang dilaungkan dengan lantang langsung tidak terendah oleh akal dan fikiran apalagi jasad?

Walhal, Syaitan sekalipun akan berlari bertempiaran tatkala terdengar laungan [B]azan[/B] menunjukkan betapa [B]azan[/B] ini mampu memberi rasa GENTAR pada syaitan.

Adakah kita ingin menjadi lebih teruk daripada makhluk tersebut, tiadakah rasa gentar dan takut dalam hati kita tatkala nama ALLAH dilaungkan?

Ingatlah, selagi kita terdengar kalimah ALLAH dari [B]azan[/B] yang dilaungkan, persiapkan diri untuk solat.

Kerana kita tidak tahu sampai bilakah lagi laungan ini akan kedengaran di cuping telinga.

Andai panggilan menghadapNya sudah tiba, sudah tentu kita tidak mampu menangguhkannya apalagi mengelak.

- [LINK=http://iluvislam.com/]Artikel iluvislam.com[/LINK]

Tuesday, December 21, 2010

KEMULIAAN DAN KELEBIHAN ILMU

Pelajari ilmu pengetahuan
Mempelajarinya itu saja merupakan satu tanda taqwa,
Mencarinya adalah sebagai ibadat,
Menuntutnya sama dengan jihad,
Mengajarnya kepada orang belum mengerti adalah merupakan sedekah,
Memberikannya pada yang berkepentingan adalah satu kebaktian.

Wednesday, December 15, 2010

JANJI GURU

Hidup seorang guru sungguh bahagia
Terkenang jasa diluput tidak
Tapi pena orang luar
Bila berbicara soal guru
Aku menjawab tenang

Orang kata guru itu payah
Siang pergi malam kerja
Aku kata guru itu mudah
Siang bergaji malam bahagia
Pagi tak pernah rugi
Malam tidurpun selesa

Orang kata guru itu penat
Gaji tak seberapa kerja berlambak
Aku kata guru itu rehat
Mengajar tak seberapa tapi penuh berkat
Kerja sekerat-sekerat pahala penuh sendat
Ilmu yang dicurah tak dapat disekat
Makin dicurah makin mendekat

Orang kata guru itu sungguh bosan
Setiap tahun muka sama setiap bulan
Aku kata guru itu singguh riang
Sekali berkata murid ketawa girang
Bila berjaya murid terus menjulang
Jasa bakti tak pernah hilang

Orang kata guru itu sepi
Dihumban ke dalam hutan seperti tiada penghuni
Lebih-lebih lagi Ulu Banat tak bertepi
Aku kata guru itu "happy"
Jasa bakti dipercayai
Masuk kedalam hutan untuk berbakti
Pada bangsa anak pertiwi
Agak kelak menabur bakti
Setelah keluar dari IPT

Orang kata guru itu susah
Orang berkereta mewah berbatunya rumah
Masih meminta agar dipindah, tak pernah kena
Aku kata guru itu senang
Kereta tak ada tak bayar hutang
Rumah sederhana berhati tenang
Tidur lena pencuri tak datang
Tak dapat pindah bukan penghalang
Menerus hidup seorang pejuang

Orang kata apa boleh dikata
Kalau hati sudah dimahkota
Janji guru janji dikota
Aku berkata itulah guru sungguh bertakhta
Jangan takut bila dikata
Janji kita harus dikota
Luput tidak diingat dikata.

BONDA

Bonda,
Dalam hati pernah bercerita.
Berkata tentang kita.
Tentang susah senang hidup kita.
Tentang pahit getir perjalanan kita.
Bonda,
Jika dahulu aku buntu.
Jika dahulu aku runsing.
Dan jika dahulu aku buta.
Doa mu masih tak jemu menyusurku.
Bonda,
Biar merpati beralih arah.
Mendung timbul di celahan kaca.
Hujan turun di kutub utara.
Kau insan terindah figura dunia.
Warna memori.
Adakala terluka dan terhiris.
Tiada ku kecil dan tiada ku besar.
Dan bila sang hitam menjelma.
Wajah mu sering bermain di kotak mindaku.
Hingga terbawa di buai lena maya.
Bonda,
Katakan lah apa saja.
Lautan merah aku renangi.
Gunung tertinggi aku daki.
Si pelangi aku cari.
Setia ku tak kan pudar.
Walau datang ribut melanda.
Bonda,
Jika aku pergi dulu.
Jangan ditangisi semua itu.
Tidak ku sanggup melihat dirimu berduka lagi.
Akan ku kenang peristiwa semalam.
Mencintai mu adalah perkara teristimewa.
Buatku bonda.
- NAZA MD NOOR –

Wednesday, December 1, 2010

Untuk Isteriku

Permata (Untuk Isteri Ku)

Artist: Kopratasa
Telah ku siapkan satu daerah paling sunyi
Dalam hati ini untuk kau isi sebagai isteri
Untuk kau penuhi dengan kemuliaan seorang wanita
Untuk kau beri erti dengan kelembutan
Untuk kau hargai dengan kasih sayang

Ku ingin kau jadi wanita mulia
Yang tahu harga budi dan hati
Seorang lelaki bernama suami

Kerana engkau isteri
Ku ingin kau mengerti bahawa hidup ini
Tak semudah yang kita janjikan
Yang kita janjikan
Kerana kau isteriku