Pages

Monday, November 29, 2010

Tetamu Senja

Tetamu Senja


Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

Pada tetamu yang datang dan
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan

Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad

Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas

Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
~ A. Samad Said

Friday, November 26, 2010

Atasi Masalah Gemuk

RAMAI yang mengadu dan risau dengan bentuk badan mereka yang tidak menarik. Setiap kali melihat ke cermin, serta-merta muka masam mencuka.
“Aku tak nak gemuk, aku nak kurus!”
Ya, mungkin ada di kalangan anda yang mengalami masalah seperti ini. Bukannya salah jika berlebih berat badan, cuma siapa yang tidak mahu dilihat indah, cantik dan molek pada pandangan orang. Bukankah begitu?
Justeru, bagaimana mahu mencapai berat badan yang ideal serta teknik kawalan berat badan yang  sepatutnya dilakukan. Bagaimana ya?
Menurut Mary L. Gavin, MD, terdapat 5 langkah utama yang perlu dilakukan oleh mereka yang ingin mencapai berat badan yang diidamkan. Bukan mereka yang gemuk sahaja ya. Anda dan saya yang kurus ini juga harus melaksanakannya.
1)      Aktiviti senaman. Senaman yang ideal haruslah dilaksanakan dengan kadar 3 kali seminggu selama kira-kira 30 minit. Ramai yng beranggpan bahawa perkara ini sudah selalu sangat diwara-warakan. Namun hakikatnya, aktiviti ini amatlah penting untuk mengawal kalori di dalam badan kita. Tanpa senaman yang dilakukan secara teratur, kalori-kalori akan mudah untuk terendap di dalam tubuh dan menyebabkan berat badan terus meningkat. Ubahlah gaya hidup anda mulai hari ini. Tidak semestinya lengkap berpakaian sukan untuk beriadah. Cukuplah berjoging atau berbasikal untuk ke tempat berhampiran, selagi ianya mampu membakar lemak dan kalori.
2)      Kurangkan ‘screen time’. Kurangkan screen time di sini bermakna anda harus mengurangkan masa anda bersantai-santai di bilik atau pun di dalam rumah. Pendek ceritanya, kurangkan masa menonton televisyen dan di hadapan komputer. Anda akan kurang untuk melakukan aktiviti luar sekiranya masa anda banyak dihabiskn di depan televisyen. Kurangkanlah screen time itu untuk sekitar 2 jam sehari sahaja.
3)      Sayuran dan buah-buahan. Ya, sayuran dan buah-buahan bukan sahaja memberikan anda vitamin dan mineral kepada tubuh, bahkan ianya menjadi diet pelengkap kepada tubuh anda. Justeru dengan pengambilan sayur dan buahan yang mencukupi, secara tidak langsung anda akan mendapati bahawa selera makan anda tidak berlebihan. Maka, tiadalah masalah pertambahan berat badan.
4)      Jangan tinggalkan sarapan pagi. Ramai di kalangan kita, anda atau sesiapa sahaja yang meninggalkan sarapan pagi semata-mata untuk mengurangkan pengambilan makanan. Ingat, ini adalah salah satu teknik yang salah! Ya, mereka yang meninggalkan pengambilan makanan sarapan pagi akan mudah dan cepat untuk berasa lapar. Dan ini sering mengakibatkan pengambilan makanan yang berlebihan semasa makan tengah hari. Justeru ini akan menyebabkan mereka mengambil nilai kalori yang jauh lebih banyak berbanding nilai yang sepatutnya diambil pada sarapan pagi.
5)      Kurangkan minuman bergas. Salah satu faktor kegemukan juga adalah disebebkan amalan pemakanan dan minuman yang salah. Banyakkan pengambilan minuman kosong atau air mineral. Kurangkanlah pengambilan minuman bergas dan bergula.
 Ubahlah gaya hidup kita mulai sekarang. Amalkan cara yang hidup yang sihat. Sesiapa yang malas-malas itu, ayuh rajinkan diri. Jadilah manusia yang terbaik untuk diri kita sendiri.
Allah sentiasa membuka ruang dan peluang untuk setiap hambaNya mencapai apa yang dimahukan. Mengapa kita sendiri yang enggan berusaha untuk menggapainya. Rahsia itu sudah pun ada di tangan anda. Ayuh, marilah, apa tunggu lagi!

Thursday, November 25, 2010

catatan malam

"JANGAN MALAS MENGULANG KAJI , SEBAB LANCARNYA KAJIAN KERANA DIULANGI KAJI. PELUPA ADALAH PENYAKIT YANG BERBAHAYA BAGI ILMU PENGETAHUAN. ..."

"Reading is to the mind what exercise is to the body." -- Joseph Addison

"Ten people who speak make more noise than ten thousand who are silent."-Napoleon

"If you are not willing to risk the unusual, you will have to settle for the ordinary."-Jim Rohn

Wednesday, November 24, 2010

Bunga Sirih Untuk Guru

BUNGA SIRIH UNTUK GURU

J.M. Aziz

Guru adalah Ibu pengasuh budiman
guru adalah ratu lebah
lalu memujuk membelai kelopak
cinta kasih sayang
lilinnya berbunga sinar cahaya
madunya berbunga penawar jiwa.

Guru adalah penyu pengasih
lalu menabur bunga telur
baktinya segar mewangi
sepanjang pantal zaman.

Guru adalah lampu penyuluh
pedoman kehidupan
guru adalah pendakwah
lalu mengikut jejak Nabi Muhammad
memimpin insan
ke jalan lurus ke padang luas.

Bunga sirih bunga pirtang
terima kasih terima savang
budi bicara guru berjasa
kami sanjung tinggi.

J.M. Aziz
Rumah Puisi
Seberang Takir
Kuala Terengganu

Tuesday, November 23, 2010

Bahasa Dan Bangsa

Bahasa dan bangsa
semestinya bersatu
dalam jiwa bangsa.

Bahasa dan bangsa
cintanya harus utuh
kasihnya harus teguh
sayangnya harus kukuh.

Sucinya cinta bahasa
murninya kasih bahasa
luhurnya sayang bahasa
seabadinya setia.

Bangsa sering curang
cintanya berkurang
kasihnya terlarang
sayangnya melayang.

Layu bahasa
kuyulah bangsa!

Musnah bahasa
punahlah bangsa!

Lesap bahasa
lenyaplah bangsa!

Gagah bahasa
dahsyatlah bangsa!

Gemilang bahasa
terbilanglah bangsa!

Ridzuan Kamis
Sanggar Kayangan, Perlis.

Monday, November 22, 2010

Kehidupan

Hidup
Perjuangan abadi
Oleh semua yang bernafas
Yang merasai akan agungnya
Karya ciptaannya
Hidup
Menempuh pelbagai cabaran
Semata untuk mempastikan
Kita pejuang yang berjaya
Menempuh dan mengalami
Ertinya yang sebenar..
Hidup pelbagai
Definisi diberikan
Kepalsuan, kesusahan,
Kerakusan
Dan kebahagiaan
Namun satu yang dicari
Pengalaman yang tidak akan
Kembali..
Hidup
Akhirmu bukan dikubur
Namun bergantung kepada
Perjuanganmu
Nanti akan ditentukannya...